• Welcome to Biosimilar Malaysia (Versi Bahasa Melayu)
logo
logo

Selamat Datang ke Biosimilar Malaysia!

Laman web ini bertujuan untuk mendidik masyarakat umum mengenai kepentingan Faktor Pertumbuhan Epidermal Manusia 2 (HER2) dalam kanser payu dara dan implikasinya dalam pengurusan penyakit. Gambaran kesuluruhan mengenai jenis-jenis kanser payu dara akan diberikan dan perbincangan yang menyeluruh akan dilaksanakan mengenai topik biosimilar, terutamanya Trastuzumab disebabkan oleh kegunaannya sebagai salah satu pilihan rawatan untuk kanser payu dara.

BERKENAAN KANSER PAYUDARA

Kanser payudara adalah sejenis kanser yang seringkali ditemui dalam kalangan wanita Malaysia. (1)

Apakah kanser payudara?

Kanser payudara adalah sejenis penyakit di mana sel-sel di payudara membesar secara tidak terkawal. Terdapat pelbagai jenis kanser payudara dan ia bergantung kepada sel origin yang telah bertukar menjadi barah. Kanser payudara juga boleh merebak di luar payudara melalui saluran darah dan sistem limfa. Apabila kanser payudara merebak ke bahagian tubuh badan yang lain, ia dikatakan telah menjadi barah sekunder. (2)

Peringkat Kanser Payudara (2, 3)

Peringkat 0

Kanser terhad di dalam saluran susu dan tidak invasif. Rawatan untuk tumor payudara tidak invasif selalunya berbeza dengan rawatan kanser payudara yang invasif.

Peringkat 1

Kanser payudara masih kecil (<2cm) dan belum merebak ke kelenjar ataupun hanya sedikit yang tersebar ke kelenjar sentinel.

Peringkat 2

Kanser payudara ini lebih besar daripada kanser tahap 1 (2cm-5cm) dan/ atau telah merebak ke beberapa kelenjar berdekatan.

Peringkat 3

Tumor ini lebih besar atau tumbuh dalam tisu berdekatan (kulit di atas payudara atau otot di bawahnya), atau mereka telah merebak ke banyak kelenjar berdekatan.

Peringkat 4

Kanser telah merebak di luar payudara dan kelenjar berdekatan ke bahagian badan yang lain. Rawatan untuk kanser payudara peringkat 4 biasanya terapi sistemik.

(8)

Jenis kanser anda akan menentukan jenis rawatan yang akan dilaksanakan dan bagaimana kanser anda akan bertindak kepada rawatan yang diterima. (4)

Apakah sub-jenis kanser payudara?

Kanser payudara juga boleh diklasifikasikan berdasarkan sensitiviti sel-sel kanser kepada rawatan hormon dan peringkat pertumbuhan kanser. (5, 6) 

1) Kanser Payudara Positif Reseptor Hormon

2) Kanser Payudara Positif-HER2

3) Kanser Payudara Tiga Ganda Negatif (Triple Negative)

4) Kanser Payudara Positif Reseptor Hormon dan Positif-HER2 (Triple Positive)

Kanser Payudara Positif Reseptor Hormon

Sel-sel kanser payudara mempunyai protein yang dikenali sebagai reseptor hormon. Reseptor tersebut boleh mengikat pada estrogen dan/atau progesteron yang merupakan hormon semula jadi dalam badan. Hormon tersebut bertanggungjawab untuk perkembangan seksual, kitaran haid, kehamilan dan embriogenesis. Sensitiviti sel tersebut terhadap hormon-hormon yang dinyatakan sebelum ini menentukan sekiranya terapi hormon boleh dipergunakan sebagai suatu jenis rawatan bagi kanser payudara. 

Kanser Payudara Positif-HER2

Sesetengah kanser payudara mempunyai banyak reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia 2 (HER2), sejenis protein yang boleh membantu percambahan sel-sel kanser. Sesetengah ubat yang menyasari HER2 secara khusus boleh membunuh sel-sel kanser yang sebegini. 

Kanser Payudara Tiga Ganda Negatif (Triple Negative)

Kanser Payudara Tiga Ganda Negatif (Triple Negative) memberikan keputusan negatif kepada (i) reseptor estrogen, (ii) reseptor progesteron dan (iii) HER2. Kategori kanser ini tidak sensitif terhadap rawatan hormon. Oleh itu, kaedah rawatan alternatif perlu dipilih dalam kes-kes sebegini. 

Kanser Payudara Positif Reseptor Hormon dan Positif-HER2 (Triple Positive)

Bertentangan dengan kategori yang disebutkan sebelum ini, rawatan hormon sesuai untuk jenis kanser ini. Hal ini demikian kerana, sel-sel tersebut mempunyai sensitiviti terhadap hormon estrogen dan progesteron serta protein HER2, disebabkan oleh kehadiran reseptor khusus untuk unsur-unsur ini. Ubat-ubatan yang menyasarkan HER2 sesuai untuk kes sebegini. 

Pakar onkologi anda mungkin akan menggelar ia sebagai barah Luminal A (Positif-Reseptor Hormon/Positif-HER2), Luminal B (Positif-Reseptor Hormon/Positif-HER2), Tiga Ganda Negatif (Negatif-Reseptor Hormon/HER2) ataupun Positif-HER2. (7)

(8)

Last Update: 22/10/2021